Piagam UMNO PAS Ke Arah PRU-15

KOTA BHARU 24 Mei – PAS tidak menolak kemungkinan akan meningkatkan kerjasama dengan UMNO untuk jangka masa yang panjang sehingga membentuk gabungan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam penilitian pihaknya kerana melibatkan pelbagai proses termasuk kelulusan Majlis Syura Ulama serta muktama khas.

Beliau berkata, namun pada masa sekarang hubungan di antara kedua-dua parti tersebut akan terus dipertingkatkan dengan memeterai deklarasi piagam kerjasama UMNO-PAS selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Sebagaimana kita sebut dulu, muafakat kita (PAS-UMNO) ada tiga benda iaitu, pertama mana-mana pilihan raya kecil akan melibatkan satu lawan satu. Kedua, agenda Islam, untuk mempertahankan Islam dan ketiga, menyusun tindakan bersama dalam sidang Parlimen.

“Deklarasi (piagam UMNO-PAS) ini akan lebih daripada itu. Lepas raya, kita bermesyuarat untuk lihat piagam ini… Ke arah PRU-15 kita akan lihat nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Badar al-Kubra peringkat di negeri di Madinah Ramadan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai piagam kerjasama UMNO dan PAS yang akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Piagam tersebut membawa kepada satu peringkat baharu kerjasama di antara kedua-dua parti itu yang melibatkan semua lapisan daripada peringkat bahagian atau kawasan sehingga ke Pusat melalui manual bertulis.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerjasama politik atau ‘tahaluf’ dengan UMNO perlu dibawa kepada Majlis Syura Ulama untuk diluluskan.

“Kalau kerjasama biasa tidak apa, dalam kerangka parti yang dibenarkan dalam perlembagaan parti.

“Kalau ada kerjasama panjang membabitkan ‘tahaluf’ kena bawa kepada syura dan pengalaman Pas walaupun syura luluskan macam masuk Barisan Nasional (BN) dulu, kita akan bawa dalam muktamar khas. Jadi ahli-ahli tak perlu bimbang,” katanya.

Katanya, beliau telah melihat draf piagam tersebut namun harus dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk kerjasama kedua-dua parti.

“Ada dua jawatankuasa, jawatankuasa tertinggi (induk) dan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa induk akan bermesyuarat tiga bulan sekali manakala jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat beberapa kali.

“Piagam yang disyorkan oleh jawatankuasa teknikal akan diangkat kepada jawatankuasa induk, selepas raya nanti kita akan mesyuarat lihat piagam ini.

“Saya sudah lihat piagam ini dan UMNO juga sudah tengok. Kena bahas dalam mesyuarat kedua-dua pihak,” katanya.

Tambahnya, piagam tersebut berteraskan muafakat dan perpaduan ummah. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.