Ahmad Zahid Teruskan Program Tahunan Ramadan Bersama Rakyat

BAGAN DATUK 22 Mei – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meneruskan program tahunan pada bulan Ramadan bersama masyarakat di sini pada majlis tadarus al-Quran hari ini.

Beliau yang merupakan Ahli Psarlimen Bagan Datuk berkata, beliau tetap bersemangat untuk hadir dalam program tahunan yang diadakan bersama penduduk sejak dahulu lagi.

Menurutnya, program sedemikian akan tetap diteruskan supaya aktiviti agama tetap diadakan selain dapat mengeratkan hubungan semasa masyarakat di sini.

“Kalau ditakdirkan saya sakit sekali pun, papahlah saya untuk datang ke majlis ini kerana saya sentiasa bersemangat untuk bertemu masyarakat, penduduk di kawasan saya,” katanya ketika berucap pada Program Tadarus al-Quran Perdana dan Elya Ramadan al–Mubharak Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bagan Datuk. Datuk Mohd. Mohkeri Jalil.

Pada program tersebut, sebanyak lapan periuk bubur lambuk dimasak dan kemudiannya diagihkan kepada penduduk, anak yatim dan sekolah tahfiz.

Ahmad Zahid berkata, walaupun umat Islam di negara ini mempunyai pendirian politik yang berbeza namun matlamatnya sama.

“Sebagai umat Islam kita harus memastikan kesyumulan Islam, perpaduan ummah serta berada dalam negara amam maju dan diredai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.