Kerajaan Persekutuan Diminta Pertimbang Bayaran Royalti Minyak Pahang

KUANTAN, 21 Mei – Kerajaan negeri Pahang meminta kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula bayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata surat rasmi berhubung permohonan itu akan dikemukakan secara rasmi dalam masa terdekat, namun menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan nilai yang hendak diberikan.

“Perkara ini (pemberian wang ihsan atau royalti minyak) pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian royalti sebanyak RM100 juta kepada kerajaan negeri.

“Jadi, hari ini saya membangkitkan semula soal pembayaran royalti ini supaya dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019, Sabtu lalu.

Majlis anjuran Yayasan Petronas yang meraikan 161 pelajar kurang berkemampuan daripada 24 buah sekolah sekitar daerah ini turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Wan Rosdy berkata pemberian wang ihsan atau royalti itu, jika diluluskan kerajaan, dapat memanfaatkan rakyat di Pahang.

Untuk rekod, pada Oktober 2012 Najib mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307 oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil.

Beliau dilaporkan berkata kedudukan medan minyak tersebut terletak kira-kira 160 kilometer di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang pada kedalaman air 76 meter.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu berkata Pahang dijangka menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran. – Bernama