UMNO Kembali Dengan Semangat Baharu

ALOR SETAR 11 Mei – Sempena hari ulang tahun UMNO yang ke-73 hari ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap agar parti itu kembali dengan semangat baharu menerusi mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsa serta agamanya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan bahawa tugas yang amat berat menanti UMNO untuk membina semula parti keramat orang Melayu ini.

“Kita harus kembalikan UMNO kepada semangat yang baharu. UMNO mesti bergerak sebagai sebuah parti yang mempunyai semangat yang kuat untuk terus berjuang mempertahankan Melayu dan memartabatkan Islam.

“Patah sayap bertongkatkan paruh, namun menyerah tidak sekali. Dan janganlah kita berharap dengan kejayaan yang pantas, parti harus dibersihkan dahulu sebersih-bersihnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, UMNO dihidupkan dengan keringat, darah, air mata serta dengan segala pengorbanan sehingga menjadikannya sebuah parti keramat yang mengangkat wadah perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Setelah 73 tahun, kita sebagai generasi pewaris UMNO harus menggalas amanah ini dan mendepaninya dengan bijaksana.

“Ayuh kita bangkit. Yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa kejayaan dan kemenangan adalah milik orang-orang yang bersatu di bawah panji-panji kebenaran dan mengorak langkah perjuangan dengan penuh kesabaran.

“Maka, sempena hari ulang tahun ke-73 UMNO, marilah kita gerakkan kesatuan ummah untuk melakukan penghijrahan ke arah perpaduan yang lebih sejahtera. Satukan tekad kita untuk memastikan Islam kembali memimpin negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.