Ulang Tahun UMNO Ke-73 Bakal Suntik Semangat Baru Menuju PRU-15

TEMERLOH, 9 Mei – 11 Mei ini merupakan ulang tahun UMNO yang ke-73 dan ia juga merupakan kali kedua disambut sebagai pembangkang selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sambutan kedua hari ulang tahun UMNO sebagai pembangkang tidak lagi seperti sebelum ini yang penuh dengan rasa dukacita kerana kali ini semangat dan keyakinan untuk terus berjuang sudah kembali ke landasan yang benar.

“Sambutan ulang tahun UMNO yang ke-73 kali ini merupakan kali kedua dirai selepas kita tewas dan hilang kuasa namun walau bagaimanapun pada kali ini kita berasa mempunyai semangat baru dan harapan yang baru. Ini kerana, kerjasama yang dijalinkan antara UMNO dan PAS melahirkan keyakinan untuk kita kembali menjadi kerajaan pada PRU-15 nanti.

“Saya yakin, semangat dan keyakinan ahli UMNO telah semakin tinggi malah lebih utuh dari dulu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO bahagian Rompin, Datuk Maznah Mazlan berkata, sambutan ulang tahun UMNO kali ini amat berlainan kerana kali ini penyatuan antara UMNO dan PAS ibarat memberi sinar kepada semangat yang patah sebelum ini.

“Walaupun pada masa ini kita umpama seperti berada dalam satu gelombang yang begitu dahsyat dan kekalahan BN dalam PRU-14 merupakan titik hitam dalam sejarah UMNO tetapi saat inilah kita semua perlu bersatu dan Alhamdulillah kali ini kita tidak bersendirian. Kita mempunyai sokongan dan perpaduan dengan erat bersama PAS selain parti komponen MCA dan MIC.

“Kali ini, kita akan bersama-sama mereka untuk mengharungi gelombang yang dahsyat ini. Yakinlah bahawa UMNO adalah sebuah parti keramat, kesabaran, ketabahan dan kesetiaan pada parti akan terbukti dengan kemenangan dalam PRU-15.

“Kemenangan ini akan memperkukuhkan lagi UMNO… menjadikan lagi bermaruah, lagi berkualiti dan bakal mencapai kemenangan besar dalam PRU-15 nanti,” jelas beliau.

Dalam hal ini, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pula berkata asas kerjasama UMNO dan PAS bukanlah kerana kuasa namun atas nama Islam itu sendiri.

“Kedua-dua parti terpaksa membuat pengorbanan paling besar iaitu meletakkan perasaan peribadi dan kepentingan individu di tepi. Alhamdulillah, kerjasama yang dijalinkan ini mendapat sambutan baik malah mereka yang bukan menjadi mana-mana ahli parti politik turut mengharapkan penyatuan ini berterusan.

“Saya percaya, lansdkap politik kali ini akan berubah dalam kita menuju PRU-15 akan datang. Selamat ulang tahun UMNO ke-73,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.