Kerajaan Perlu Sahkan Penarikan Diri Daripada Statut Rom

PULAU PINANG, 8 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan isu penarikan diri daripada menyertai Statut Rom disahkan seperti mengikut surat yang telah dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu.

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah khususnya perlu lebih profesional serta serius dalam memastikan pendirian negara dalam isu berkenaan, bukannya sekadar mengutus surat rasmi kepada PBB semata-mata.

Menurut beliau, walaupun terdapat peraturan tertentu sebelum PBB memberi sebarang maklum balas, namun rakyat harus mendapat penerangan sahih daripada kerajaan apatah lagi tarikh matang penarikan diri daripada menyertai Statut Rom berkenaan perlu dibuat secara rasmi sebelum Jun ini.

“Tidak ada maknanya jika sehingga Jun ini pun masih tiada sebarang jawapan daripada PBB kerana ini hanya akan membangkitkan keresahan rakyat secara berterusan.

“Adakah jika situasi seperti ini berlaku, Saifuddin akan bertanggungungjawab termasuk meletakkan jawatan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendesak penjelasan Saifuddin mengapa Malaysia dilihat masih berada dalam senarai menyertai Statut Rom meskipun telah sebulan Kabinet memutuskan menarik diri daripada statut tersebut.

Menurut Zainul Rijal, pihaknya mahu tahu apakah tindakan yang telah diambil oleh Kementerian Luar untuk memastikan keputusan Kabinet itu dipatuhi.

Sementara itu, Rahmad menambah, rakyat menghormati ketegasan kerajaan yang mengumumkan menarik diri dalam isu itu namun bimbang sekiranya berlaku kecacatan dari sudut perundangan yang boleh menafikan keputusan tersebut. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.