Pembangkang Persoal Kenapa ADUN Pilah Diam Sahaja?

SEREMBAN 24 April – Wakil rakyat pembangkang mempersoalkan tindakan Exco kerajaan negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu yang mendiamkan diri dan tidak menjawab soalan berkaitan portfolionya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) bangun menuntut penjelasan mengapa Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri itu membiarkan soalan untuknya dijawab wakil kerajaan lain.

Terdahulu, Abdul Razak Said (BN-UMNO Gemas) mengemukakan soalan berhubung peruntukan bagi program memperkasakan budaya dan adat ketika sesi soal jawab lisan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan di sini.

Bagaimanapun soalan itu tidak dijawab oleh Mohamad Nazaruddin (PKR-Pilah) yang dilihat hanya mendiamkan diri di kerusinya.

Ini mendorong Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani (Amanah-Paroi) bangun dan menjawab soalan berkenaan.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli dewan menyebabkan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Gemencheh); Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) dan Noor Azmi Yusuf (BN-Pertang) meminta penjelasan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) menjelaskan bahawa perkara itu bukanlah isu dan tidak perlu dibesarkan oleh pembangkang.

“Dulu memang MB (menteri besar) yang jawab, tapi tiada peraturan yang menyatakan hanya MB mesti jawab. Tidak perlu dipanjangkan, siapa-siapa saja boleh jawab” katanya.

Mohamad Nazaruddin sebelum ini dilaporkan mengalami masalah tekanan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan terdapat dakwaan mengatakan beliau disihir.
Difahamkan beliau mengalami kesukaran untuk bercakap walaupun mampu bergerak dan bekerja seperti biasa.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia semalam, Mohamad Nazaruddin mengatakan keadaan kesihatannya ketika ini adalah baik. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.