Jangan Lengahkan Bantuan Kepada Rakyat

SEREMBAN 24 April – Kerajaan negeri ditegur kerana mengambil masa yang terlalu lama sehingga hampir setahun untuk membina semula rumah penduduk yang terbakar di Juasseh, Kuala Pilah.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) yang berharap sebarang keputusan untuk menangani masalah rakyat perlu dibuat dengan segera.

“Semalam saya dimaklumkan, sebanyak RM33,000 telah diluluskan oleh menteri besar (MB). Saya harap ia akan ambil masa cepat sebelum raya, supaya keluarga itu dapat rumah baharu yang selesa.

“Walaupun ia berita baik tapi tempohnya panjang, saya timbulkan masalah ini pada sesi Julai tahu lalu, sudah hampir setahun. Ini jadi ingatan kepada semua bahawa kita di sini untuk beri khidmat dan jaga rakyat.

“Akan datang luluskan lebih awal. Boleh lantik Setiausaha Kerajaan Negeri mempengerusikan jawatankuasa masalah rakyat seperti kerajaan dulu buat. MB mungkin sibuk untuk bangunkan negeri dan mesyuarat,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah diraja sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan
Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail turut membangkitkan elaun yang masih tidak dibayar kepada bekas ketua kampung yang berkhidmat semasa pemerintahan BN sebelum ini.

“Apabila Pakatan Harapan ambil alih kerajaan negeri pada Mei tahun lalu, tak ada siapa ambil tahu urusan kampung. Ketua kampung sebelum ini diminta untuk lanjutkan khidmat selama sebulan sehingga Jun.

“Tetapi elaun mereka dibayar setakat Mei, masih belum dibayar sebulan lagi. Seperti kita maklum kewangan negeri mantap dan mereka tanya saya berhubung elaun itu.

“Saya bangkitkan di dewan kerana harap ia diselesaikan segera. Saya sudah tanya isu ini dua kali, tak manis kalau tanya buat kali ketiga. Harap mereka dapat elaun, tak perlu saya tanya pada sesi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.