Eksklusif: Pendedahan Penipuan Kos ECRL?

PENGUMUMAN YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan dengan kos RM44 bilion menimbulkan seribu satu persoalan.

2. Sejak 2016, sebahagian pemimpin Pakatan menegaskan bahawa kos sebenar untuk projek ECRL (termasuk pembinaan Terowong Genting di Banjaran Titiwangsa) hanyalah sekitar RM27 bilion ke RM30 bilion sahaja, berbanding RM55 bilion yang ditandatangani bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

3. Sebaliknya, ahli politik Pakatan menuduh bahawa RM30 bilion daripada kos projek ECRL yang asal (RM60 bilion) yang ditandatangani Najib adalah bertujuan untuk disalahguna bagi membayar hutang syarikat 1MDB dan Jho Low.

4. Sumber utama rujukan pemimpin Pakatan dalam tuduhan kaitan ECRL-1MDB-Jho Low ini ialah laporan Sarawak Report yang bertajuk ‘OUTRAGE! – Najib’s Secret Deal With China To Pay Off 1MDB (And Jho Low’s) Debts!’ bertarikh 26 Julai 2016 (http://www.sarawakreport.org/…/outrage-najibs-secret-deal-…/).

5. Laporan tersebut menuduh kos ECRL sepatutnya hanya sekitar RM27 bilion sahaja, di mana ia menyatakan bahawa ‘Cost of project delivery’ oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ialah RM27 bilion. Sebaliknya, kos tambahan hampir RM30 bilion lagi adalah penyelewengan untuk membayar hutang 1MDB kepada syarikat Abu Dhabi, IPIC, di samping pembayaran kepada dua syarikat berkaitan Jho Low iaitu Loh & Loh Corporation Berhad (LLCB) dan Putrajaya Perdana Berhad (PPB). Satu lagi siri pembayaran pula dituduh melibatkan pembelian aset dan ‘unit-unit’ 1DMB.

6. Pecahan tuduhan-tuduhan tersebut adalah seperti berikut: RM850 juta untuk membayar aset-aset 1MDB (tanah di Ayer Hitam, unit-unit Brazen Sky Limited, unit-unit 1MDB Global Investments Limited Fund, dan 1MDB Energy Holdings Ltd.), RM243.6 juta untuk membayar 90% pegangan syarikat berkaitan Jho Low iaitu Loh & Loh Corporation Berhad (LLCB), RM 71.3 juta untuk 70% pegangan satu lagi syarikat berkaitan Jho Low iaitu Putrajaya Perdana Berhad (PPB), RM65 juta lagi untuk syarikat perunding dan komunikasi strategik, manakala bakinya untuk membayar hutang 1MDB dan faedah kepada syarikat Abu Dhabi, IPIC menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM29.852 bilion (Rujuk imej Salinan dokumen kiri).

7. Namun begitu, laporan Sarawak Report yang sama turut melampirkan satu lagi dokumen ‘rasmi’ yang kononnya akan digunakan oleh pentadbiran Najib Razak untuk menutup ‘perancangan’ mereka bagi menggunakan RM29.852 bilion daripada pinjaman projek ECRL ini bagi membayar hutang 1MDB dan Jho Low.

8. Lampiran ‘palsu’ yang bertujuan mengaburi ‘perancangan’ ECRL-1MDB-Jho Low oleh pentadbiran Najib itu kononnya memperincikan kos projek ECRL seperti berikut: ‘General, Preliminaries, Enabling Works, and Design and Build Elements’ (RM10.2 bilion), ‘Infrastructure and Buildings’ (RM18.08 bilion), ‘Permanent Guide Way’ (RM14.1 bilion), ‘System Works’ (RM13.2 bilion), ‘Rolling Stock’ (RM4 bilion), ‘Testing and Commissioning’ (RM120 juta), dan ‘Training & Maintenance’ (RM300 juta) di mana keseluruhannya ialah RM60 bilion.

9. Maka hari ini selepas kerajaan Pakatan berjaya merundingkan kembali kos projek ECRL, timbulnya persoalan-persoalan berikut: jika ECRL ini adalah ‘alat’ Datuk Seri Najib untuk membayar hutang 1MDB dan Jho Low seperti mana dakwaan Clare Rewcastle Brown (Sarawak Report), mengapa kerajaan Pakatan hanya mengurangkan kosnya menjadi RM44 bilion (selepas ditolak RM10 bilion terowong Banjaran Titiwangsa)?

10. Jika dahulu kos ECRL dituduh sepatutnya hanya bernilai RM27 bilion, dan bukannya RM55 bilion atau RM60 bilion atau RM65 bilion, mengapa hari ini kosnya hanya dikurangkan kepada RM44 bilion dengan jajaran yang berbeza dan enam stesen dihapuskan?

11. Memang benar pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjadikan harga projek berkenaan dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion. Soalnya sekarang di bahagian manakah dalam kos ECRL yang dikurangkan kerajaan Pakatan ini yang dikatakan sebagai bertujuan ‘membayar hutang 1MDB’ dahulu sedangkan pengurangan kos yang dilaporkan adalah disebabkan pengubahsuaian jajaran dan penghapusan stesen-stesen?

12. Jika benar RM29.852 bilion daripada projek ECRL ini bertujuan untuk membayar hutang 1MDB dan Jho Low, maka bukankah sepatutnya tiada sebarang perubahan jajaran atau penghapusan stesen ECRL yang terlibat sama sekali?

13. Bukankah sepatutnya jika berlaku penyelewengan dalam perancangan kerajaan terdahulu, maka kita seharusnya akan dapat menyaksikan satu projek ECRL yang sama dengan harga kos yang berbeza? Satu dengan kos RM60 bilion (Najib Razak) dan satu lagi dengan kos RM27 bilion (kerajaan Pakatan). Sebaliknya projek ECRL yang diluluskan hari ini adalah bernilai RM44 bilion dengan pengurangan stesen dan perubahan jajaran yang tidak memerlukan kerja-kerja menggali terowong di Banjaran Titiwangsa sama sekali.

14. Adakah hal ini tidak dijelaskan kerana sememangnya dalam perjanjian ECRL Datuk Seri Najib dahulu tidak melibatkan kos ‘membayar hutang 1MDB’ seperti mana yang didakwa Sarawak Report sama sekali? Jika itulah realitinya maka bolehlah disimpulkan bahawa laporan Sarawak Report pada 26 Julai 2016 itu adalah satu penipuan dan fitnah. Penipuan ini bahkan turut diulangi dalam buku beliau, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ khususnya Bab 37 ‘The China Connection’ dari halaman 459 hingga ke halaman 470.

15. Tentulah kita sebagai rakyat Malaysia berbangga kerana kerajaan Pakatan kita hari ini adalah satu-satunya kerajaan yang berjaya merundingkan semula kontrak gergasi dengan China di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) yang dilancarkan sejak 2013. Selain daripada penjimatan berbanding kos asal, penyertaan kontraktor tempatan turut ditingkatkan daripada 30% kepada 40% dan perkongsian risiko kini tidak lagi ditanggung kita 100%, sebaliknya dikongsikan 50-50 dengan CCCC.

16. Malah, ahli ekonomi Yunani Panos Mourdoukoutas melalui majalah perniagaan Forbes memuji Perdana Menteri Tun Mahathir kerana berani melawan China manakala pemimpin dunia lain tidak. Hal ini berbeza dengan negara-negara lain seperti Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina yang diperangkap hutang oleh China.

17. Namun begitu, pada sisi yang lain, pemeteraian perjanjian tambahan (SA) ECRL ini menimbulkan lebih banyak persoalan politik berbanding jawapan. Malah, Tun Mahathir sendiri turut mendedahkan bahawa rundingan semula perjanjian projek mega ini ditandatangani tanpa sebarang syarat supaya China menyerahkan ahli perniagaan dalam buruan kerajaan iaitu Jho Low.

18. Sebaliknya, beberapa hari lalu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan bahawa Jho Low bukan sahaja bebas bergerak antara Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China, malah beliau turut memiliki kad penduduk Hong Kong dan syarikat beliau masih beroperasi di sana.

19. Ringkasnya, lima persoalan berikut wajib dijawab:

i. Jika dahulu kos ECRL dituduh sepatutnya hanya bernilai RM27 bilion atau RM30 bilion, dan bukannya RM55 bilion atau RM60 bilion atau RM65 bilion, mengapa hari ini kosnya hanya dikurangkan kepada RM44 bilion dengan jajaran yang berbeza, tanpa penggalian Terowong Banjaran Titiwangsa, dan enam stesen dihapuskan?

ii. Di bahagian manakah dalam kos ECRL yang dikurangkan kerajaan Pakatan ini yang dikatakan sebagai bertujuan ‘membayar hutang 1MDB’ dahulu sedangkan pengurangan kos yang dilaporkan adalah disebabkan pengubahsuaian jajaran dan penghapusan stesen-stesen? Mengapa tiada perbandingan kos ditunjukkan sama sekali dalam aspek ini oleh kerajaan hari ini?

iii. Jika benar RM29.852 bilion daripada projek ECRL dahulu bertujuan untuk membayar hutang 1MDB dan Jho Low, maka bukankah sepatutnya tiada sebarang perubahan jajaran atau penghapusan stesen ECRL yang terlibat sama sekali?

iv. Bukankah sepatutnya jika berlaku penyelewengan dalam perancangan kerajaan terdahulu, maka kita seharusnya akan dapat menyaksikan satu projek ECRL yang sama dengan harga kos yang berbeza? Satu dengan kos RM60 bilion (Najib Razak) dan satu lagi dengan kos RM44 bilion (atau 27 bilion menurut Sarawak Report).

v. Mengapakah Jho Low yang dituduh sebagai antara dalang di sebalik cubaan penyelewengan projek ECRL ini tidak dijadikan syarat supaya ditangkap dan diserahkan oleh China sebaliknya bebas bergerak dan mengoperasikan syarikatnya di Hong Kong seperti mana laporan Sin Chew Daily baru-baru ini?

Selagi kesemua persoalan ini tidak dapat dijelaskan, maka bolehlah disimpulkan bahawa laporan Sarawak Report pada 26 Julai 2016 itu adalah satu penipuan dan ahli politik Pakatan perlu berhati-hati dalam memetik sumber maklumat selepas ini – terutama sekali yang melibatkan kepentingan nasional kita.

Apa pun, setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Pakatan kerana meneruskan projek ECRL ini. Ikhlas daripada saya, anak Terengganu dan Pantai Timur.

Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.