Lapan Inisiatif Berjaya Lonjak Kemajuan Negeri Pahang, Tolak Tuduhan Akan Bankrap

KUANTAN, 16 April – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak lapan inisiatif baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas dalam usaha untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Wan Rosdy berkata antara inisiatif berkenaan ialah penetapan sasaran kutipan hasil tanah sebanyak 90 peratus yang kini mula membuahkan kejayaan apabila hasil yang dipungut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“Sehingga Mac lepas, jumlah kutipan hasil yang telah dikutip meliputi hasil tanah, hasil hutan, hasil air dan lain-lain hasil mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM120 juta berbanding hanya RM101 juta pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Walaupun sebelum ini ada seseorang berjawatan di ´sebelah sana´, pihak di sebelah sana, memberikan tempoh hanya tiga bulan kepada saya dan kononnya Pahang akan bankrap selepas itu, namun alhamdulillah sehingga kini kita bukan sahaja tidak bankrap tetapi juga berjaya meningkatkan hasil, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mustapa Long (Barisan Nasional-Padang Tengku) pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang yang bertanyakan tentang pencapaian serta inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri selepas menang PRU14 lepas.

Katanya selain itu, langkah mewujudkan aduan rakyat terus kepadanya menerusi saluran aduan.wanrosdy.com, juga berjaya menyelesaikan banyak isu yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Sejak mula ia dilancarkan pada 2018 sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 627 aduan telah diterima melalui saluran aduan rakyat ini dan daripada jumlah itu 263 aduan telah diselesaikan, 25 aduan dalam tindakan penyelesaian.

“Manakala 98 aduan belum dijawab, 172 aduan diklasifikasikan sebagai tidak releven dan baki 69 aduan lagi merupakan aduan terus kepada menteri besar, ” katanya.

Dalam masa yang sama katanya kerajaan negeri juga telah menubuhkan Pahang Corporation sebagai satu langkah strategik untuk penstrukturan dan mengawal selia prestasi serta perkembangan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) dengan meletakkan ia di bawah satu bumbung.

Katanya dengan langkah itu ia dapat memudahkan lagi kerajaan negeri memantau prestasi berdasarkan Sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan di samping memberikan khidmat nasihat kepada S-GLC untuk membuat pelaburan yang betul dengan pulangan keuntungan yang tinggi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.