Semangat Islam tidak padam dalam PAS-UMNO

KUALA LUMPUR 15 April – Semangat Islam tidak padam dalam kerjasama UMNO dan Pas yang turut membawa kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua parti itu kini bersama-sama dalam titik persamaan untuk menerima konsep kontrak sosial yang dipahat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sekurang-kurangnya, kedua-dua parti itu telah bersama-sama khususnya dalam perkara asasi iaitu Islam adalah agama Persekutuan, hak beragama dan beramal kepada penganut berbagai agama lain, bahasa Melayu dinobatkan menjadi bahasa kebangsaan, konsep Raja Berperlembagaan serta kedudukannya menjadi penaung
dan mentadbir urusan Islam dan lain-lain.

“Walaupun UMNO dan Pas berbeza pendekatan dalam merealisasikan Islam yang dianuti bersama, sehingga berlakunya krisis yang tajam, tetapi Alhamdulillah, tidak memadamkan semangat Islamnya,” katanya menerusi hantaran dalam kaman Facebook beliau hari ini.

Tambah Abdul Hadi, walaupun Pas dilihat berbeza, sehinggalah tidak sefahaman dengan UMNO, tetapi wajib bersatu mempertahankan perkara asas yang menjadi perjuangan bersama.

Katanya, adalah sangat menggembirakan apabila kalangan bukan Islam juga ramai yang peka bahawa tindakan yang sedang berlaku laksana mahu menebuk kapal di
tengah lautan perlu dicegah secara aman dan damai.

“Malulah kepada anjing sekampung yang boleh berhenti bercakaran apabila dilihatnya musuh datang masuk ke kampungnya.

“PRK DUN Rantau adalah sangat bermakna, kerana namanya Rantau supaya kita merantau mencari pengundi, dan kita pula bersama BN yang sudah kehilangan umpan untuk memancing undi. Rantau adalah model masyarakat majmuk yang unik di mana Melayu Islam mendominasi penduduk dan pengundinya serta menarik juga MCA dan MIC datang bersama secara terbuka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.