Rakyat Sudah Bosan Sikap Salahkan Kerajaan Terdahulu

ALOR SETAR 14 April – Kejayaan kali ketiga berturut-turut Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan yang terbaharu di Rantau membuktikan rakyat khususnya golongan muda kini sudah mula muak dengan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan tidak mempunyai visi jelas dalam membangunkan negara.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof berkata, serangan bertali-arus terhadap pemimpin UMNO dan Pas termasuk sering kali menyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutup kegagalan mereka ternyata sudah tidak boleh diterima oleh rakyat.

Dalam masa sama katanya, kerjasama yang semakin mantap antara BN dan Pas turut menjadi antara salah satu faktor kejayaan itu.

“Lihatlah sepanjang tempoh kempen PRK, mereka (PH) menyerang Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) selain menggunakan taktik menyalahkan kerajaan terdahulu seperti dalam isu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Felda dan pelbagai lagi namun jelas tidak mampu mempengaruhi rakyat.

“Rakyat telah menterjemahkan kekecewaan mereka terhadap PH di peti undi melalui kejayaan di PRK ini dan sebelum-sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keputusan rasmi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam menyaksikan Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.

Kejayaan manis itu merupakan kemenangan ketika berturut-turut BN selepas mengekalkan Parlimen Cameron Highlands dan merampas kerusi DUN Semenyih dalam PRK sebelum ini.

Mengulas lanjut, Shahanim berkata, kejayaan di Rantau juga membuktikan pengundi menghargai jasa Mohamad sebagai wakil rakyat dan Menteri Besar selama tiga penggal.

“Mereka tidak terpengaruh dengan apa jua serangan yang dilontarkan kepada Tok Mat kerana pengundi Rantau dan rakyat kenal siapa Tok Mat yang banyak berjasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.