Kerajaan Jangan Buang Masa Dengan Perkara Tidak Berfaedah, Tumpu Pada Kemajuan Rakyat – Sultan Johor

JOHOR BAHRU 14 April – Sultan Johor bertitah menasihatkan pihak kerajaan supaya tidak membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan perlu tumpu perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor.

“Kedaulatan negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia.

“Semoga negeri Johor terus maju, makmur dan diberkati,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr. Sahruddin Jamal dilantik sebagai Menteri Besar baharu di Istana Bukit Serene di sini pagi ini menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.