UMNO Johor Akur Cadangan Sultan Johor

JOHOR BAHRU 13 April – UMNO Johor akur cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diteruskan bagi mengelak berlakunya krisis perlembagaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, cadangan untuk tidak meneruskan pembubaran itu dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa beliau menghadap baginda di Istana Pasir Pelangi pada 11 pagi ini.

“Saya menerima cadangan Tuanku supaya isu pembubaran dewan pada waktu ini boleh menimbulkan spekulasi yang mengatakan akan berlakunya krisis perlembagaan.

“Jadi, untuk membuktikan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 sebagai undang-undang yang lengkap, maka, pembubaran dewan itu pada waktu ini, sekiranya tidak dilakukan akan dapat mengelak daripada berlakunya krisis perlembagaan,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Johor di sini hari ini.

Hasni berkata, dalam pertemuan selama sejam dengan Sultan Ibrahim, baginda turut menitahkan beliau supaya memastikan ahli UMNO di negeri ini memahami dengan mendalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 menerusi pelbagai cara termasuk taklimat, forum, seminar dan sebagainya.

Ini kerana, katanya, Sultan Ibrahim tidak mahu rakyat terkeliru apabila ada pihak yang membuat pelbagai interpretasimengenai undang-undang itu.

“Sebagai contoh, sebagai contoh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ini sekiranya terdapat sebarang pertikaian, maka, Perlembagaan Persekutuan ‘supersede’ Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, itu adalah penjelasan tidak tepat.

“Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai apabila sesuatu isu itu tidak terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor. Jadi, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor adalah undang-undang yang lengkap yang selama ini tidak berbangkit sebarang pertikaian terhadap peranan sebagai satu dokumen rasmi yang menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Hasni menegaskan, UMNO Johor tidak akan menganjurkan sebarang bentuk perhimpunan atau pun untuk menyatakan sokongan parti itu kepada institusi raja kerana itu bererti parti tersebut hanya melayani spekulasi pihak-pihak tertentu sahaja. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.