Hina Agong: Perkukuhkan Akta Hasutan

KUALA LUMPUR 13 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa meneliti semula undang-undang sedia ada bagi tujuan mengekang perbuatan menghina institusi diraja daripada berlarutan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, undang-undang khas itu perlu digubal segera susulan beberapa tindakan pengguna media sosial yang memuat naik status, gambar serta komen menghina institusi Raja-raja Melayu.

Menurut beliau, dalam kes terbaharu pembuli media sosial secara biadab telah menghina Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah sekali gus membangkitkan kemarahan masyarakat.

“Justeru, peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada perlu diteliti dan diperkukuhkan lagi bagi mengekang penghinaan terhadap raja berleluasa.

“Kita tidak mahu penularan budaya menghina institusi raja dalam kalangan pihak tertentu akhirnya menjadi virus dan rakyat terus dihasut membenci Raja-raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, institusi raja mempunyai peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta mendokong prinsip-prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, pada masa sama, kerajaan boleh menjadikan Thailand sebagai contoh dalam mengambil tindakan terhadap individu yang menghina institusi beraja dengan undang-undang Les Majeste seperti diamalkan di negara berkenaan.

“Hanya dengan hukuman yang tegas dan setimpal, dapat menjadi pengajaran agar perkara itu tidak berulang di masa depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.