Hubungan Institusi Diraja, PM perlu Harmoni Demi Rakyat

KUALA LUMPUR 11 April – Institusi diraja dan badan eksekutif yang diketuai Perdana Menteri sepatutnya memiliki hubungan yang harmoni demi kepentingan rakyat serta negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bidang kuasa Perdana Menteri dan Sultan jelas digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengharmonikan keadaan.

Berkaitan hubungan dingin antara Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ini, Ahli Parlimen Bera itu mengharapkan penyelesaian yang harmoni.

“Biarlah Perdana Menteri dan Sultan Johor selesai, bagi saya apa yang penting adalah keharmonian. Kalau semua berpegang pada undang-undang tapi tiada keharmonian, maka tidak ada makna.

“Undang-undang sangat jelas, kuasa Perdana Menteri, kuasa Sultan tetapi mesti ada usaha untuk mengharmonikan keadaan kerana apa yang penting adalah rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Ismail Sabri, kedua-dua pihak berkenaan sepatutnya tidak perlu terlalu jumud mempertahankan hak masing-masing berdasarkan undang-undang.

“Apa yang penting kena ada keharmonian antara Sultan dan Perdana Menteri,” katanya.

Perletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor Isnin lalu tanpa memberi sebarang alasan telah mencetuskan polemik pelbagai pihak yang mempersoalkan sama ada keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri, desakan atau arahan tertentu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu, semua pihak termasuk UMNO Johor mempunyai hak untuk memberi pandangan berhubung situasi yang berlaku di negeri selatan tanah air itu.

“Masing-masing boleh memberi pandangan, dia (Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad) nak jumpa Sultan mungkin nak beri pandangan, hak Sultan hendak dengar pandangan tapi keputusan masih bergantung padanya,” katanya.

Semalam, Hasni yang juga Ketua Pembangkang Johor akan mencadangkan kepada Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. – UTUSAN ONLINE