Tindakan Osman Letak Jawatan Bertanggungjawab, Harus Dihormati

JOHOR BAHRU 10 April – Perletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian adalah tindakan bertanggungjawab yang harus dihormati.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan terima kasih kepada Osman atas jasa dan sumbangsih terhadap rakyat Johor selama 11 bulan lalu.

Johor katanya, memerlukan kepimpinan tertinggi yang bukan sekadar berwibawa tetapi mahir mentadbir dan mempunyai kejelasan visi bagi memajukan negeri dan rakyatnya.

“Kedudukan Kerajaan Negeri Johor semenjak sebelas bulan lepas adalah sangat tidak memberangsangkan dan rapuh.

“Ini telah menyebabkan defisit kepercayaan terhadap kerajaan negeri dan institusi di bawahnya mencapah dan meningkat dengan drastik sekali,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Peletakan jawatan Osman disahkan sendiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar yang diadakan di Parlimen semalam.
Dr. Mahathir memberitahu, Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan dalam pertemuan dengan beliau di Putrajaya, semalam.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, banyak sekali janji dalam manifesto dan pelbagai agenda rakyat terus gagal dilaksanakan.

“Saya berharap calon Menteri Besar Johor yang bakal dilantik adalah daripada kalangan peribadi yang benar-benar boleh menjadi teladan dalam pembawaan dan amanah serta cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“UMNO akan terus memainkan peranan semak dan imbang sebagai pembangkang yang berwibawa dan berkesan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE