PAS Sifatkan Tok Mat Pemimpin Masa Depan

REMBAU 10 April – Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed membayangkan Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO sebagai pemimpin masa depan Malaysia.

Beliau berkata, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu telah menunjukkan kebolehan dan kepimpinan termasuk menjayakan kerjasama antara UMNO dan PAS yang bertambah kukuh selepas PRK Cameron Highlands dan Semenyih, baru-baru ini.

“Yang bertanding dalam PRK Rantau ialah Tok Mat (Mohamad) yang mungkin menjadi pemimpin kita pada masa depan.

“(Kalau boleh mengundi) saya akan undi Tok Mat. Saya berdoa beliau akan menang besar dalam PRK ini,” katanya sambil disahut laungan takbir sebanyak tiga kali dalam ceramah di Felda Sendayan dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dr. Mahfodz berkata, walaupun hanya satu PRK, namun ia membawa erti yang amat besar kepada negara.

Oleh kerana itu, jelasnya, PAS akan terus memberi sokongan kepada Tok Mat sama seperti yang dilakukan parti itu dalam dua PRK yang lalu.

Tambahnya, kerjasama itu mesti diteruskan dan tidak hanya terhadap kepada PRK semata-mata.

“BN dan PAS akan terus berusaha sehingga ia dapat menerajui pemerintahan negara,” ujarnya.

Beliau turut menolak hujah yang menuduh kerjasama itu akan menyebabkan negara ini menjadi seperti pemerintahan Taliban di Afghanistan.

“Selama hampir 30 tahun PAS memerintah Kelantan tidak pernah ada titisan darah kaum lain mengalir sewenang-wenangnya akibat daripada pentadbiran kerajaan negeri dan semasa peristiwa 13 Mei tidak ada kaum lain yang dibunuh dalam tragedi itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.