Ketua Pembangkang Mohon Menghadap Sultan Johor, Minta Bubar DUN

JOHOR BAHRU 10 April – UMNO Johor akan mencadangkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pengerusinya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berpendapat, cadangan itu merupakan langkah terbaik untuk Johor kerana tiada calon yang layak menjadi Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, jika Johor mahu terus bergerak ke hadapan sekali gus mencapai usaha menjadi kuasa ekonomi baharu negara, negeri ini memerlukan seorang Menteri Besar yang berpengalaman dan mampu mentadbir negeri ini.

“Saya akan menulis surat kepada Sultan Johor dan akan mohon menghadap baginda bagi mencadangkan supaya DUN dibubarkan. Saya akan tunggu baginda tuanku pulang ke negeri ini dalam masa terdekat.

“Langkah itu juga saya fikir akan membolehkan rakyat membuat pilihan yang tepat dan tidak lagi memilih barisan pemimpin kerana mahu mencuba-cuba, kita mahu lihat Johor terus maju ke hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Osman Sapian kerana mengambil tindakan bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. – UTUSAN ONLINE.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.