Hina Tunku Mahkota Johor Bangsat: Pegawai Khas Menteri Didesak Mohon Maaf

SEKIJANG, 9 April – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang mengecam kenyataan biadap Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Abdul Hanan Khairy yang memuat naik di laman sesawang facebook menghina Tunku Mahkota Johor dengan menggunakan perkataan bangsat.

Ketua pergerakan Pemuda Sekijang, Mohd Nor Saidil Ibrahim berkata, walaupun Hanan tidak menyebut nama mana-mana individu terhadap ucapan tidak beradap itu tetapi kenyataan tersebut jelas ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor.

“Selaku bangsa Johor, saya berasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Hanan. Dia seharusnya lebih rasional dan tidak bercakap mengikut emosi terhadap isu ini kerana Kerajaan Persekutuan telahpun membuat keputusan menarik diri dari menandatangani ‘Statut Rome’.

“Walaupun ‘posting’ tersebut telah dipadamkan (barangkali merasa takut), namun perkara ini tidak boleh dipandang remeh, justeru, Pemuda UMNO mendesak agar Hanan memohon maaf secara terbuka serta bertanggungjawab di atas perbuatannya,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Nor Saidil, tindakan memadam posting tersebut bukan bermakna dia terlepas daripada didesak untuk memohon maaf kerana ‘damage is done’.

“Istitusi DiRaja bukanlah sesuatu yang boleh kita permainkan. Di harus bertanggungjawab atas perbuatannya. Selaku pegawai kepada menteri, seharusnya dia sedar perbuatannya ini bukan sahaja merosakkan namanya sendiri tetapi turut melibatkan kredibiliti menteri.

“Adakah kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) ini sudah tidak tahu membezakan perkara baik dan buruk atau mereka ini sememangnya mahu menunjukkan contoh yang tidak baik kepada generasi muda?,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.