Sokong Tok Mat Banyak Berjasa Di Rantau
REMBAU 8 April – Jasa diberikan Datuk Seri Mohamad Hasan sepanjang lebih 14 tahun menjadi wakil rakyat di sudah cukup menjadi bukti calon Barisan Nasional (BN) itu merupakan pilihan terbaik bagi pengundi di Rantau.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. ASyraf Wajdi Dusuki berkata, berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram, Mohamad merupakan calon tempatan yang telah memberikan baktinya sekian lama oleh itu penduduk mesti memberikan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April depan.
“Pujuklah rakan-rakan pada 13 hari bulan nanti pastikan tiada calon yang lebih layak selain Tok Mat. Jasa dan baktinya cukup untuk menjadi pembuktian.
“Pilihan kita adalah untuk menghantar isyarat yang tegas dan keras bahawa 13 April, kita bisikkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga, mak dan ayah, pujuk anak-anak supaya balik, tapi katakan jika mahu undi PH jangan balik,” katanya ketika berucap dalam program Pentas Pemuda di Kampung Sendayan di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting; Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementara itu, jelas Asyraf, DAP merupakan parti yang paling takut di atas kerjasama dan agenda penyatuan ummah yang telah dibentuk oleh UMNO dan Pas.
“Penyatuan ummah ini mereka anggap sebagai perkara yang akan mengharu-birukan negara seolah-olah orang UMNO dan Pas akan mengisytiharkan perang kepada orang Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Nicole dan Thinalan tidak kena perang pun malam ini, mereka baik sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE