Statut Rom: PH Jangan Pernah Abai Pandangan Rakyat

KUALA LUMPUR 6 April – Kepentingan untuk mengambil kira pandangan rakyat secara menyeluruh perlu diberi perhatian oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarbangsa (ICC) berulang pada masa akan datang.

Lebih penting, kerajaan PH juga diingatkan supaya melakukan kajian secara teliti dan mendedahkannya kepada umum demi menjaga Institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan negara.

Peringatan itu ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang mahu kerajaan PH mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka menyertai Statut Rom.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan PH mewujudkan mekanisme untuk membolehkan rakyat memberi pandangan terhadap sebarang keputusan yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan serta keharmonian negara seperti Statut Rom.

“Kerajaan tidak boleh membuat keputusan semata-mata hanya dengan persetujuan Kabinet. Setiap ratifikasi perjanjian yang dibuat mestilah diteliti kesan jangka masa panjangnya,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom ICC yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu selepas kerajaan PH mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, kerajaan PH dialu-alukan untuk meratifikasi sebarang perjanjian tetapi ia mestilah membawa keuntungan jangka masa panjang kepada negara selain tidak mencabar keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kepemimpinan kerajaan PH juga perlu mengambil kira sensitiviti rakyat dalam membuat keputusan dan bukannya hanya mendengar kehendak sebilangan kecil aktivis yang memperjuangkan perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.