Sebelas Jawapan Fakta Tabung Haji

Ada orang minta saya ringkaskan isu Tabung Haji termasuk jawab poster di bawah. Maka ini jawapan saya:

1. RM4.1 bilion itu bukan rugi. Ia adalah susut nilai. Kebanyakan punca susut nilai adalah kerana penurunan harga saham yang diluar kawalan pengurusan TH. Tapi jumlah inilah benda yang diulang musuh politik untuk dakwa pengurusan TH gagal / menyeleweng.

2. Antara 1 April hingga 31 Disember 2018, susut nilai aset TH adalah sebanyak RM5.4 bilion. Tapi sebab masa tu pemerintah dah bertukar, puak puak ini buat diam pula.

3. Tabung Haji tak pernah rugi. Tahun 2017, keuntungan bersih mereka adalah RM3.412 bilion. Jumlah ini disahkan juruaudit bebas E&Y dan tak pernah dipertikaikan walaupun sudah berlaku pertukaran kerajaan.

4. Pengurusan lama pakai kaedah Net Realisable Value (NRV) untuk seimbangkan defisit RM4.1b tersebut. Caranya, pengurusan TH nilaikan semula harga aset dengan harga yang mereka jangka boleh dijual. Jadi tinggilah sedikit daripada harga belian asal. Tapi orang marah. Ini creative accounting kata mereka. Penipu. Walaupun kaedah itu ikut standard perakaunan dunia.

5. Masuk pengurusan baru, defisit aset TH dah jadi RM10.9 bilion. Maka pengurusan TH pindah aset kepada SPV, dapat kertas hutang, hilang semua dividen saham dan dapat penilaian harga melampau atas kertas. Contohnya saham Bumi Armada bernilai RM8 juta dinilai / ambilalih dengan nilai atas kertas RM115.2 juta. Ya PH kata itu bukan creative accounting, itu maknanya pandai. Orang yang cipta kaedah NRV pun dah boleh keluar dari kubur menangis sujud atas kaki orang yang cipta kaedah akaun macam ni. ‘NRV’ paling agung atas dunia.

6. Ya, TH ada kerugian RM400 juta dalam pelaburan sawit di Indonesia dulu. Tetapi TH ini multi billions punya company. Dia pelbagaikan (diversify) pelaburan supaya kalau satu bisnes rugi, bisnes lain yang untung boleh cover. Sebab itu dari tahun 2013-2017, untung bersih TH adalah RM 15.047 bilion.

7. Jika TH pernah rugi kerana terlibat dalam satu urusniaga berkaitan Jho Low, maka kerajaan siasat dan hukumlah mereka yang terlibat. Apa susah? Kemudian boleh siasat sama bagaimana TH dijadikan ‘piggy bank’ pada zaman PM ke 4 apabila membeli TH Perdana dan TH Selborn dengan harga RM436.38j berbanding harga penilai RM267.92j.

Pengerusi TH pada tahun 1998 adalah TS Ahmad Razali, adik ipar PM ketika itu.

8. Kertas sukuk dan RCPS-i yang diberi oleh SPV sebagai galang ganti saham dan aset TH itu tiada jaminan kerajaan. Secara atas kertas, kalau SPV ini bungkus, TH tengok saja. Ya, UZAR kata tak perlu jamin sukuk SPV ini sebab deposit kita dah dijamin kerajaan. Soalnya, kalau SPV ini bungkus, TH akan rugi dan kita semua tak dapat dividen dan subsidi haji lagi. Yang ni tak ada orang pula nak fikir?

9. Letak saham di SPV ini tak menguntungkan pun. Dividen saham ini semua SPV kaut. TH cuma diberi RCPS-i yang tak beri apa2 hasil. Saham tersebut pun bukan semuanya naik harga. Contohnya saham E&O masa dipindahmilik pada 31 Dec 2018 berharga RM1.12 se saham. Hari ini dah turun jadi 90 sen. Pendek kata SPV cuma tunggu dan kutip dividen sementara TH duk menganga tunggu lalat masuk mulut. Meniaga air tebu pun takdak senang macam ni.

10. Ada orang kata untunglah kerajaan ambil alih saham TH dengan nilai yang tinggi. Ya, atas kertas memang untung. Tapi kalau saham2 tersebut tak boleh naik harga maka macammana SPV tersebut nak bayar kepada TH apabila sampai masa? Sudahlah RCPS-i yang menjadi galang ganti itu tiada jaminan kerajaan.

11. Ada ahli politik kata kerajaan baik hati suntik RM17 bilion untuk selamatkan Tabung Haji. Tetapi saya malas nak komen. Kalau Presiden pun tak reti beza antara kertas hutang dengan suntik modal, maka elok dia diam.

Amenda lagi tak faham?

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Bukit Tunggal Kuala Terengganu