BN Kutuk Sekeras-kerasnya Kempen Terdesak Pihak Tertentu Guna Provokasi Perkauman


REMBAU, 6 April – Barisan Nasional (BN) mengutuk sekeras-kerasnya unsur-unsur provokatif yang dilakukan segelintir pihak dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini, tegas calonnya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bahkan kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, perbuatan provokasi yang menyentuh perkara perkauman hanya membangkitkan perasaan marah serta sentimen antara masyarakat.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya bagi pihak BN ‘banner-banner’ provokasi sebegitu rupanya, khususnya yang berunsur perkauman. Memang kempen yang dilakukan pihak terdesak sekarang ini ialah menyeru kaum-kaum India jangan mengundi saya.

“Itu yang mereka lakukan, kita dapat laporan dan saya didatangi oleh ramai pemimpin-pemimpin masyarakat orang India bahawa pihak tertentu menjalankan kempen sedemikian rupa.

“Dan ‘banner’, ‘bunting’ saya tak hairan kerana dibuat oleh mereka sendiri untuk membangkitkan kemarahan, sentimen oang-orang India. Dulu masa pilihan raya umum ke-13 saya masih ingat lagi, kuil di dalam estet Linsum dirobohkan oleh mereka sendiri, diupah dan akhirnya dia menuduh kerajaan (ketika itu, BN) yang merobohkan kuil tersebut,” tegas Timbalan Pengerusi BN itu dalam sidang media di Bilik Gerakan BN di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian terdapatnya beberapa ‘banner’ yang berunsur provokasi perkauman menyeru orang Melayu jangan mengundi calon PH, Dr Streram dari kaum India.

Justeru, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti itu berharap pihak-pihak yang berkempen jangan memainkan isu provokasi perkauman tersebut.

“Jadi saya harap supaya benda-benda macam ini jangan kita lakukan terutamanya provokasi-provokasi pilihan raya yang berunsurkan perkauman, merbahaya sebab pilihan raya kecil ini sampai 13 haribulan, lepas tu kita di Rantau akan hidup bersama sebagai satu masyarakat berbilang kaum, berbilang agama.

“Orang luar datang buat provokasi akan menghancurkan keharmonian masyarakat yang telah lama hidup bersama.

“Jadi saya amat kesal dan saya minta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang telah melakukan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya lagi.

Jelasnya, jika mengikut logik maksud bahan provokasi tersebut mahu membangkitkan perasaan marah orang India terhadapnya.

“Maksud ‘banner’ tersebut ialah orang Melayu jangan undi Dr Streram. Masyarakat tahu saya mempunyai kelebihan di kalangan pengundi-pengundi Melayu di Rantau ini, saya tak perlu buat begitu. Itu provokasi untuk menghasut orang Melayu.

“Provokasi itu (juga) jelas nak ditujukan kepada pengundi orang India supaya membangkitkan kemarahan pengundi kaum India terhadap saya, terhadap Barisan Nasional.

“Takkan saya nak buat itu, padahal saya sekarang sedang berusaha untuk mempertingkatkan lagi sokongan orang India kepada saya, maka mengikut logiknya saya tak perlu buat ‘banner’ provokasi berupa sebegitu,” katanya.

Mengenai kempen PRK yang genap seminggu pada hari ini, Mohamad amat berpuas hati dengan momentum serta gerak kerja jentera BN.

“Saya amat berpuas hati dengan gerak kerja jentera Barisan Nasional yang kita susun rapi untuk menjalankan kerja-kerja kempen menemui pengundi-pengundi.

“Banyak orang tanya saya sebagai bekas pemain bola, apa sistem bola yang saya pakai empat empat dua ke.. empat tiga tiga ke… Saya menggunakan ‘total football’ maknanya semua memainkan peranan, bila kita serang semua serang… bila bertahan semua bertahan tidak ada bila kena serang, penyerang tinggal atas seorang-seorang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, strategi tersebut merupakan pendekatan terkini, mengurus secara mikro serta bersepadu bersama rakan-rakan parti komponen BN dan juga PAS.

“Maka ini adalah pendekatan mengurus secara mikro yang kita buat iaitu berbeza dengan cara dulu kita buat kempen secara besar-besaran seperti apa yang Pakatan Harapan buat sekarang tetapi kita lebih cenderung dan fokus kepada mengurus secara mikro.

“Iaitu cuba sedaya upaya menemui seramai mungkin pengundi-pengundi dalam DUN Rantau. Ini kita lakukan dengan cara kita buat kempen bersepadu dengan rakan-rakan BN dan juga rakan-rakan lain seperti PAS.

“Itu sebabnya banyak orang tanya PAS tak nampak sangat kali ini di Rantau tidak seperti di Semenyih dan Cameron Highlands. Kerana kehadiran PAS di Rantau ini kita serapkan bersama menjadi sebagai anggota atau pasukan bersama, berjalan rumah ke rumah secara bersama. Ini yang kita lakukan untuk dapat menemui seramai mungkin pengundi-pengundi di sini, Insya-Allah,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.