Pemuda UMNO Mahu Pastikan Penduduk Rantau Tunaikan Hak Mengundi

REMBAU 5 April – Pemuda UMNO mahu memastikan penduduk di Rantau dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April depan.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, daripada maklum balas penduduk di Rantau, rata-rata mahukan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi wakil rakyat mereka.

Namun begitu, jelas Asyraf, keadaan tersebut juga boleh mengundang kerisauan iaitu kemungkinan timbulnya rasa keselesaan dalam kalangan pengundi tentang peluang besar Mohamad untuk memenangi kerusi tersebut.

“Sedikit sebanyak kita risau adalah nilai keselesaan orang yang tidak mahu mengundi. Persepsi Tok Mat akan menang, sebab itulah kita mahu pastikan kita jangan berada dalam selesa.

“Pastikan semua orang turun mengundi dan jalankan tanggungjawab mereka kerana penting, rakyat mahu Tok Mat. Kalau mereka tak turun mengundi, kesannya buruk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Asyraf, kempen BN di PRK Rantau setakat ini tidak begitu sukar kerana secara umum para pengundi mempunyai tahap keyakinan tinggi terhadap Mohamad.

“Mereka sayang kepada Tok Mat, bagi mereka yang berada di Rantau, mereka dapat rasa sendiri apa yang telah Tok Mat lakukan.

“Sebab itu saya daripada awal beritahu, kita tak susah kempen di sini kerana kita hanya menyebut soal jasa dan bakti Tok Mat, kita tidak sentuh peribadi lawan pun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.