Pengiktirafan UEC, UMNO Kedah Pelik Reaksi Berbeza Menteri Pendidikan Dan Timbalan

ALOR SETAR 3 April – Penerangan UMNO Kedah melahirkan rasa pelik berikutan kenyataan dan reaksi yang berbeza antara Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Ketuanya, Datuk Suraya Yaacob berkata, hal demikian kerana Maszlee menegaskan bahawa pengiktirafan UEC bagi menduduki CLP itu tiada kaitan dengan kementeriannya tetapi lain pula Nie Ching yang begitu gembira dengan keputusan tersebut.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan ia merupakan reaksi pemimpin DAP itu terhadap kejayaan parti berkenaan memperjuangkan UEC seperti mana dijanjikan dalam manisfesto parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bagi para pelajar Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), nasib mereka agak berbeza. Biarpun hampir sedekad telah memohon pengiktirafan pengecualian menduduki CLP, namun tiada sebarang maklum balas bagi permohonan mereka.

“Tapi untuk UEC, cepat pula diberi pengiktirafan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Mungkin inilah nasib anak bangsa Melayu Islam di zaman “Malaysia Baharu” ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 30 Mac lalu, Nie Ching melahirkan rasa gembira dengan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.

Menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun Facebook rasminya itu, beliau turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia.

Pada keesokannya, Maszlee menegaskan bahawa pengiktirafan UEC untuk diterima sebagai memenuhi syarat bagi tujuan menduduki peperiksaan CLP bukan dilakukan di bawah Kementerian Pendidikan.

Suraya seterusnya memberitahu, segala keputusan berkaitan pengiktirafan UEC bagi menduduki CLP menunjukkan ‘warna sebenar’ kerajaan PH.
Malah kata beliau, Maszlee sendiri dalam satu kenyataannya pada 12 Julai tahun lalu telah mengesahkan bahawa pihaknya tidak akan ‘flip flop’ untuk mengiktiraf UEC.

“Ini sekali gus membuka ruang kepada lulusan sijil itu memasuki universiti awam. Inilah kerajaan PH yang kononnya memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan hak dan keistimewaan Islam serta bangsa Melayu di negara ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.