Tarik balik kelulusan UEC!

KUALA LUMPUR 2 April – Peguam Negara, Tommy Thomas didesak supaya segera menarik semula kelulusan dan kebenaran mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Perkara itu ditegaskan Keilmuan Nasional yang turut mahukan Kabinet melaksanakan dasar atau polisi bahawa apa sahaja pengiktirafan berkaitan UEC tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tetapi perlu dirujuk kepada jemaah menteri.

Hal ini kerana, Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd. Isa melihat keputusan Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) bertentangan dengan keputusan jemaah menteri untuk mewujudkan satu jawatankuasa mengkaji dan mengumpul fakta berkaitan UEC.

Jelas beliau, tindakan berkenaan juga disifatkan sebagai terburu-buru dan tidak mendapat maklum balas daripada pemegang taruh seperti Majlis Peguam, Badan Peguam negeri-negeri, fakulti undang-undang universiti awam dan Kementerian Pendidikan yang mengurus serta mengawal selia dasar pendidikan negara.

“Seharusnya apa jua isu berkaitan UEC perlu ditangguhkan dan dirujuk kepada Kabinet kerana ianya melibatkan dasar dan polisi pendidikan negara.

“Kelulusan berkenaan juga jelas membelakangi dasar pendidikan kebangsaan dan Keilmuan Nasional bimbang dengan tindakan Tommy ini akan memberi kesan kepada badan-badan profesional lain seperti Majlis Perubatan Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia dan badan-badan profesional lain yang mungkin akan mengiktiraf UEC,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.