PH… Sila Fokus Kebajikan Rakyat, Jangan Tambah Sengsara Mereka – Tok Mat


REMBAU, 2 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya tahu menjaja isu-isu yang tidak relevan seperti isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegasnya, seharusnya kerajaan memikirkan nasib rakyat yang kini terpaksa mengalami kesukaran dan keperitan hidup kesan daripada pelbagai bantuan sama ada dikurangkan atau diberhentikan oleh kerajaan PH yang gagal mengurus ekonomi negara dengan baik.

“Orang Rantau dia tak kisah pasal 1MDB, yang dikisah susah nak beli barang duit tiada. Cuba lihat pekebun-pekebun kecil, Rantau ini banyak pekebun kecil dengan harga getah merudum dan harga sawit merudum, dia nak makan apa?

“BR1M; Bantuan Rakyat 1Malaysia (sekarang dijenamakan Bantuan Sara Hidup) yang ditunggu-tunggu semua dapat sikit dan dipotong. Yang paling teruk sekali bila saya melawat kawasan berjumpa dengan rakyat mereka mengadu kepada saya bahawa ramai orang yang telah diberhentikan bantuan kebajikan masyarakat terutamanya masyarakat orang India.

“Saya pun tidak tahu mengapa sebab. Inilah orang yang dahulunya memang susah, kita bagi bantuan tetapi bila saya pergi di Saga tempoh hari lalu, ada seorang makcik nak menangis berkata ‘saya punya kebajikan sudah potong, saya anak tiada duduk satu orang…’,” ujar Mohamad dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini hari ini.

Jelas Mohamad, ini berbeza ketika beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu tidak timbul isu menganaktirikan sesiapa dalam memberikan bantuan di mana hasil pendapatan negeri akan diagihkan secara saksama tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama termasuklah badan-badan bukan kerajaan, rumah-rumah ibadat, persatuan ibu bapa dan guru waima persatuan burung kakak tua.

Justeru, disebabkan itulah tekadnya akan membangkitkan mengenai perkara berkaitan jika diberi kepercayaan oleh rakyat untuk berada di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Salah satu soalan yang saya akan tanya dalam dewan jika menang, mengapa dan berapa ramai yang menerima bantuan kerana setahu saya semasa zaman saya, 33 ribu lebih orang mendapat bantuan kebajikan masyarakat berserta baitulmal.

“Berapa ramai yang telah diberhentikan dan mengapa. Nak kata Negeri Sembilan tiada duit, saya tinggalkan banyak duit, rizab banyak saya tinggalkan. Kalau kerajaan Persekutuan tiada kemampuan kerajaan Negeri Sembilan tanggunglah dahulu seperti yang pernah kita buat dahulu kita menambah apa yang dikurangkan oleh kerajaan Persekutuan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, bekas pemimpin nombor satu kerajaan Negeri Sembilan itu meninggalkan rizab di dalam kantung kerajaan negeri sejumlah kira-kira RM764 juta.

Berhubung dengan penurunan rating negara paling bahagia sebagaimana yang diberikan oleh agensi antarabangsa, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti itu berpendapat:

“Mengapa kita rasa tak selamat dan resah gelisah? Sebab ketidakcekapan dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara, mentadbir negeri salah satu daripadanya punca pendapatan negara atau negeri, contohnya Negeri Sembilan yang paling besar adalah pembangunan tapi bila kerajaan hentikan pembangunan mana nak dapat pendapatan.

“Itu sebab (kerajaan) nak naikkan tarif air dan macam-macam lagi cukai… Jangan tambah sengsara orang,” tegasnya.

Dilaporkan, berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh ‘World Happiness Report 2019’, Malaysia telah disenaraikan dalam kedudukan yang ke-80 daripada 156 buah negara yang menyertai senarai negara paling bahagia di dunia berbanding tahun lalu di tangga ke-35. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.