Kerajaan PH Gagal Teruskan Sistem Baik Yang Dilakukan BN – Shamsul Anuar


RANTAU, 2 April – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu, kerajaan telah menggariskan sistem yang cukup baik demi pembangunan negara termasuk pembelaan rakyat malah meninggalkan pengukuhan kewangan yang baik.

Namun sayangnya, momentum yang baik ini tidak dapat dikekalkan oleh Pakatan Harapan (PH) setelah parti itu mengambil alih pucuk pimpinan negara sehingga akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

“Menyedari perkara inilah yang akhirnya rakyat terjemahkan dalam dua PRK iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih apabila kembali memberi undi kepada BN.

“Maka itu saya pasti, rakyat hari ini sudah yakin bahawa sebenarnya parti yang berkeupayaan untuk memimpin negara adalah BN,” ujar beliau dalam diskusi ‘Apo Nak Dikato’ malam tadi.

Jelas Shamsul, beliau juga yakin PRK Rantau akan menjadi satu lagi tempat untuk rakyat meluahkan perasaan mereka kepada kerajaan hari yang dipimpin oleh PH.

“Rakyat akan menjadikan PRK Rantau sebagai kemenangan ‘hatrik’ BN,” katanya.

Ujar beliau, kerana kekecewaan dengan kerajaan baru hari ini yang gagal menunaikan segala janji maka rakyat khususnya mereka yang tidak menyokong mana-mana parti sebelum ini sudah dapat melihat dan menilai keupayaan BN dalam mentadbir negara.

“Kerajaan baru hari ini tidak memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat, mereka banyak memberi keutamaan kepada perkara tidak penting yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

“Bila kerajaan tidak menyelesaikan masalah rakyat, maka kos sara hidup tinggi, harga barang tinggi… kenaikan bil dan sebagainya, jadi rakyat sudah tidak percaya dengan kredibiliti mereka,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian dalam diskusi bersama Pengerusi Berhala, Chock Lam Kum Yam, Rantau, See Fo Wah bertajuk ‘Jasa dan Bakti Ukuran Pengundi’ yang dihoskan Wan Salwati Abdullah. Diskusi tersebut telah bersiaran secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Sementara itu, Fo Wah menolak dakwaan yang calon BN DUN PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat tidak melakukan apa-apa pembangunan sepanjang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, di sini.

“Bagi saya itu adalah fitnah. Saya sudah lebih 40 tahun dengan Tok Mat iaitu sejak dari zaman persekolahan di peringkat menengah… beliau seorang yang bertanggungjawab semasa menjadi menteri besar, banyak perubahan, banyak kebaikan telah dibawa kepada kaum Tionghua terutama di kawasan ini. Saya sebagai Pengerusi Perayaan Ulang Tahun 100 tahun SRJK(C) Rantau tahun lepas… Tok Mat telah berikan RM100 ribu peruntukan bagi bantu kita. Tok Mat banyak bantu kita dan kali ini kita mesti bantu Tok Mat.

“Kalau dari segi kemajuan di sini, semasa Tok Mat jadi pemimpin… dulu jalan-jalan yang tak ada lampu semua jadi terang hingga ke Seremban. Bagi saya Tok Mat adalah ketua yang mesti diberikan kemenangan dengan majoriti yang besar dan juga sebagai bukti bahawa banyak fitnah yang dibawa oleh mereka untuk musnahkan Tok Mat,” katanya lagi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.