Tindakan Benar Lulusan UEC Duduki PSAG Rendahkan Bahasa Kebangsaan – DMJ

JOHOR BAHRU 31 Mac – Tindakan membenarkan lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) dan menyatakannya setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), secara tidak langsung merendahkan bahasa kebangsaan.

Dewan Muda Johor (DMJ) dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu juga akan membuka ruang dan jalan yang akan menyebabkan isu berkenaan dipolitikkan.

“DMJ juga percaya tindakan itu bertentangan dengan aspirasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menyatakan bahawa sistem pendidikan dari luar tidak boleh sewenang-wenangnya diguna pakai di negara ini.

“Justeru, sudah jelas bahawa tindakan mengiktiraf UEC adalah tidak wajar dan sangat bercanggah dengan aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan,” demikian menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, DMJ juga memohon penjelasan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengenai perkara itu kerana beliau dilihat seperti membisu dan tidak mempunyai kuasa dalam isu tersebut.

Menurut DMJ, dalam jawapan bertulis Maszlee di parlimen tahun lalu menyatakan bahawa kerajaan tidak terburu-buru membuat keputusan mengenai UEC dan kementerian juga akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengumpul maklumat berkaitan pengiktirafan UEC.

“Namun, pengumuman Peguam Negara mengiktiraf UEC setaraf STPM dan A- Levels baru-baru ini amatlah dikesali.

“Jadi, DMJ berharap kerajaan Pakatan Harapan bertegas dalam perkara itu dan berusaha mengambil jalan terbaik bagi memastikan sistem pendidikan kita diiktiraf serta diyakini semua pihak,” demikian menurut kenyataan itu lagi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.