Presiden PAS Kunjungi Pejabat MIC: Salam Perpaduan, Vanakkam!

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Isyarat pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama ditunjukkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau amat berbesar hati apabila disambut penuh kemesraan oleh Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran serta kepemimpinan tertinggi parti yang lain.

“Saya menghargai keterbukaan yang ditunjukkan oleh Vigneswaran dan berharap agar hubungan ini dapat dieratkan dengan kerjasama yang berterusan demi kebaikan serta keharmonian semua kaum dalam negara.

“Salam perpaduan. Vanakkam!”, kata beliau dalam laman Facebook rasminya semalam.

Kenyataan yang dimuat naik Abdul Hadi turut mendapat maklum balas daripada Setiausaha Penerangan MIC, C.A. Subash yang meninggalkan komen positif dalam laman Facebook rasmi Presiden PAS itu.

“Kunjungan hormat oleh barisan kepimpinan yang diketuai oleh Abdul Hadi ke Ibu pejabat MIC disambut oleh Vigneswaran dan barisan kepemimpinan beliau.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rombongan ini. PAS untuk semua!,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.