Desak Jawab Isu MAPS Bermotif Dendam Politik

IPOH 28 Mac – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan desakan supaya beliau menjawab mengenai kos operasi taman tema animasi Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini bermotifkan dendam politik oleh DAP.

Menurutnya, desakan berulang kali oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit syarikat Perak Corporation (PCB) Berhad, Chong Zhemin berhubung kos operasi MAPS daripada RM390 juta kepada RM607 juta jelas menunjukkan DAP memutarbelitkan isu itu bagi tujuan politik.

Beliau berkata, ini kerana perkara itu diulang berkali-kali kepada pihak media walaupun hakikatnya audit belum lagi siap dilaksanakan.

“Apakah sebenarnya tujuan kenyataan-kenyataan ini dibuat bertalu-talu oleh DAP melalui ADUN parti itu?

“Adakah ini proses audit yang dibuat secara profesional atau hanya proses audit melalui media, memandangkan setiap hari Zhemin mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini walaupun proses audit belum lagi selesai.

“Tindakan beliau juga seolah-seolah mahu membuat perbicaraan melalui media (trial by media),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zambry, adalah tidak adil dan janggal tuduhan yang dilemparkan membabitkan beliau yang tidak terlibat dalam urusan PCB Bhd. ataupun anak syarikatnya, Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP).

Menurutnya, hakikatnya beliau bukann Pengerusi PCB Bhd. dan juga bukan pengerusi ATP Sdn. Bhd. tetapi merupakan Pengerusi PKNP melalui jawatannya ketika itu sebagai Menteri Besar.

Kata beliau, PCB Bhd. adalah sebuah syarikat awam yang diurus tadbir mengikut peraturan Bursa Saham, maka PCB Bhd. tidak boleh sewenang-wenangnya membuat sebarang tindakan tanpa mengikut proses serta urus selia tanpa kebenaran.

“Menurut tadbir urus korporat, saya sebagai Pengerusi PKNP ketika itu tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk PCB Bhd. kerana syarikat itu adalah syarikat tersenarai awam. PCB Bhd. juga mempunyai Lembaga Pengarah sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.