JKM Yang Tentukan, Bukan Wakil Rakyat – Noraini


KUALA LUMPUR 26 Mac – Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad mempersoal kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mengenai kolum tandatangan wakil rakyat dalam permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini kerana kenyataan Hannah semalam bahawa bermula 1 Julai tahun lalu pemohon bantuan JKM tidak perlu mendapatkan tandatangan daripada wakil rakyat.

Menurut Noraini, amalan mendapatkan tandatangan wakil rakyat seperti didakwa Hannah tidak berlaku kerana sebarang kelulusan untuk mendapatkan bantuan hanya akan ditentukan JKM selepas siasatan dijalankan.

“Setahu saya sejak saya jadi wakil rakyat memang tidak perlu sokongan wakil rakyat di Johor.

“Kalau layak JKM akan siasat dan timbang untuk kelulusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, kebiasaannya beliau akan merujuk sebarang kes kepada JKM dan agensi itu akan menjalankan siasatan.

“Selalunya dulu apa yang saya buat kalau ada kes kita akan cadangkan kepada JKM untuk siasat.
“Tiada pula tandatangan, saya tidak pasti tempat lain,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.