PAS Setuju Pengerusi PAC Daripada UMNO

 

KUALA LUMPUR, 25 Mac – ​​​​​​PAS bersetuju supaya anggota Parlimen UMNO dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata ini kerana UMNO mempunyai bilangan kerusi yang lebih dalam kalangan pembangkang.

“Kalau diikutkan Kiandee (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) dulu dari UMNO, sepatutnya pengganti adalah dari UMNO. Saya difahamkan UMNO telah kemukakan calon tetapi belum dilantik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Media semalam melaporkan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan Anggota Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi PAC, sekiranya jawatan tersebut dikosongkan.

Mengikut manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dilaporkan berkata Kiandee yang menyertai Bersatu akan kekal memegang jawatan itu sehingga calon yang sesuai dikenal pasti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.