Pengerusi SPR Tak Patut Hina Orang Kelantan

RANTAU PANJANG 23 Mac – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengaitkan rakyat Kelantan pergi ke kelab malam apabila berada di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau turut mempersoal kewajaran Azhar mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan seumpama itu kerana seseorang yang memegang jawatan Pengerusi SPR sepatutnya berkecuali dalam hal-hal politik.

“Kalau rasa hebat, saya cadangkan dia lepaskan jawatan yang disandang ketika ini. Lepas itu masuk bertanding pilihan raya.

“Saya nak tanya, adakah dia (Azhar) periksa satu-persatu orang Kelantan yang berbuat demikian sebagaimana didakwa?

“Di Mekah ada Abu Jahal, di Mesir ada Firaun. Kita tidak kata Kelantan ini lebih baik daripada Mekah. Tapi Alhamdulillah, dia tak tahu ke orang Kelantan paling ramai di universiti, pegawai tadbir pun banyak orang Kelantan, malah ada banyak pusat pengajian pondok di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Pas Kawasan Rantau Panjang di Dewan Abdul Samad Gul, Pusat Tarbiyah Kawasan Rantau Panjang, di sini hari ini.

Semalam, Azhar sebagaimana dilaporkan sebuah portal berkata, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat mula-mula dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Kata Azhar, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Susulan itu, rata-rata warganet mengecam beliau kerana dianggap menghina orang Kelantan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.