Agong Zahirkan Takziah Dan Simpati Kepada Keluarga Muhammad Haziq

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, remaja Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghormati perasaan serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang maut dan juga cedera dalam mengharungi ujian itu.

“Seri Paduka juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak-pihak tidak bertanggungjawab, termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

“Tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu yang lain,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, malam tadi.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di atas perhatiannya dalam mengendalikan insiden itu, termasuk dengan menghantar pegawai kanan daripada kementerian dan juga pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut ke Christchurch bagi memberi sokongan dan bantuan.

“Penghargaan juga kepada kerajaan New Zealand atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat termasuk daripada segi mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” menurut baginda.

Muhammad Haziq ialah antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.