Sembang Santai Bossku Lancar

KUALA LUMPUR 22 Mac – Walaupun mendapat beberapa tentangan, program Sembang Santai Bossku bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Restoran Amjal, di sini hari ini berjaya dilangsungkan.

Dihadiri kira-kira 40 orang yang kebanyakannya pelajar universiti, Najib mengambil peluang untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahannya, khususnya berkenaan mahasiswa dan universiti.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Suasana tenang di dalam restoran itu walau bagaimanapun tidak sama dengan suasana di luar restoran apabila berlaku beberapa ketegangan.

Ia bermula apabila sekumpulan individu membuat provokasi di luar restoran dengan mengangkat poster karikatur Najib sebagai badut.

Individu yang dipercayai pelajar Universiti Malaya (UM) itu kemudiannya dihalau balik oleh jawatankuasa program dan pergelutan berlaku selepas Lokman bertindak merampas dan mengoyakkan poster karikatur Najib tersebut.

Menurut wakil penganjur, Muhammad Saiful Husaini Syafie, 22, pihaknya tidak menjangkakan provokasi tersebut namun bersyukur ia tidak mengganggu perjalanan program.

Kata beliau, provokasi tersebut adalah tindakan murahan untuk mencari publisiti kerana program itu dilakukan di luar kampus dan tidak sepatutnya diganggu.

“Kita membuka ruang untuk mereka naik ke atas. Mereka sendiri yang mahu buat provokasi dan memilih untuk membuat kecoh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.