Tahniah PH Lahirkan Pejuang Ganja – BN Selangor

SHAH ALAM 21 Mac – Barisan Nasional (BN) Selangor secara sinis mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) kerana berjaya melahirkan pejuang ganja ketika rakyat sendiri terhimpit dengan pelbagai masalah kos sara hidup.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, idea ‘bernas’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli perlu segera diterjemahkan kerajaan negeri kerana PH melihat ganja lebih penting daripada perut rakyat.

“Saya sebenar tidak pelik dengan idea atau kenyataan ‘luar kotak’ pemimpin PH ini, cuma terkejut apabila ADUN Jeram memilih untuk memperjuangkan ganja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), sedangkan banyak isu penduduk di Jeram tak dibangkitkan.

“Cuma nasihat saya, sebelum dia nak memperjuangkan ganja, elok dia sendiri turun padang dan buat bancian berapa ramai penduduk di Jeram itu sendiri terpalit dengan masalah dadah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Shaid semalam mencetus kontroversi apabila mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor supaya dapat mempertimbangkan pelaksanaan penanaman pokok ganja di negeri ini bagi tujuan perubatan.

Beliau dipetik sebagai berkata: “Apa yang penting, kajian ini dibolehkan sekiranya mendapat kelulusan menteri.

“Memandangkan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, jadi kerajaan negeri boleh memberi kerjasama untuk berbincang mengenai penanaman, pemprosesan serta pengeksportan ganja yang dapat memberi pulangan lumayan,”. – UTUSAN ONLINE