PH Jangan Gula-gulakan Rakyat, Projek Berbilion Tidak Selesai Masalah Rakyat

ALOR SETAR 21 Mac – Kerajaan negeri digesa tidak ‘menggula-gulakan’ rakyat negeri ini dengan mengumumkan projek berbilion ringgit yang tidak membawa erti dalam realiti hidup mereka kerana perkara sepatutnya adalah mengutamakan kebajikan dan keperluan masyarakat.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, adalah lebih baik jika kerajaan memberi fokus kepada projek yang mampu mengatasi masalah bekalan air bersih yang menjadi keperluan asas rakyat dan bukannya bermegah menambah kekayaan golongan kapitalis melalui projek-projek tersebut.

“Kita mengalu-alukan pembangunan, kita tidak nafikan projek-projek yang diumumkan itu baik untuk pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negeri, namun adalah lebih baik bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah dan Pusat mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat Kedah yang makin hari semakin tertekan dengan pelbagai masalah dalam asas kehidupan mereka.

“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, PH sepatutnya meminta (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluluskan projek lima buah Loji Rawatan Air, penyelenggaraan, gantikan paip, pam dan sebagainya yang sebelum ini telah pun diluluskan di bawah Kerajaan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Mohamed Azmin mengumumkan tujuh projek bernilai RM3.2 bilion termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)dan Lebuh Raya Koridor Utara akan dilaksanakan bagi menarik pelaburan sekali gus menjana pendapatan kerajaan negeri.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya menyarankan agar kerajaan mengambil inisiatif untuk menyemak semula dasar-dasar tertentu bagi kesejahteraan rakyat seperti penyelesaian isu air, penetapan dan penguatkuasaan harga lantai komoditi sawit dan getah, perumahan golongan B40 serta masalah kemiskinan luar bandar.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan tersilap perkiraan, maka jurang kadar kemiskinan akan kian melebar dan berpotensi menimbulkan perasaan tidak puas hati dan diskriminasi melampau dalam kalangan rakyat.

“PAS dengan tegas menyatakan perlu ada keseimbangan antara pembangunan material seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa dan lain-lainnya sebagai usaha membebaskan rakyat daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi mereka supaya kedua-dua kepentingan ini bergerak sejajar dan seimbang.

“Apa yang penting projek-projek itu benar-benar dapat dilaksanakan agar tidak sekadar menyedapkan halwa telinga rakyat. PAS komited mempraktikkan konsep budaya politik matang sejahtera ke atas kerajaan hari ini dengan menyokong perkara yang menguntungakn rakyat dan negeri serta tegas menegakkan keadilan ke atas perkara yang menjurus ke arah kezaliman,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.