Zakaria Hanafi Angkat Sumpah Sebagai ADUN Semenyih

SHAH ALAM, 18 Mac – Zakaria Hanafi mengangkat sumpah sebagai ADUN Semenyih yang baharu, hari ini.

Zakaria daripada Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil DUN Semenyih pada 2 Mac lalu, selepas menewaskan tiga lagi calon yang bertanding iaitu Muhammad Aiman Zainali daripada Pakatan Harapan (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, dengan majoriti 1,914 undi.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Jan lepas di Hospital Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakhtiar daripada PH mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan memperoleh 23,428 undi.

Majlis angkat sumpah itu diadakan sebelum Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini, yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.