PH Jual Aset Kerajaan Kerana Terdesak

KUALA LUMPUR 18 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menjual aset-aset milik kerajaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) mendakwa, dalam beberapa bulan sahaja, kerajaan telah menjual aset-aset berkenaan.

Beliau percaya, langkah menjual aset bukanlah satu strategi yang menjamin ekonomi negara terselamat.

“Kalau kita jual aset bermaksud kita berada dalam keadaan yang terlalu terdesak dan akan mengancam kemampuan kita untuk meraih pendapatan masa akan datang,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi ‘petua’ kepada PH supaya menurunkan harga telur sekiranya mahu harga barangan lain menjadi terkawal dan menjadi lebih rendah.

Katanya, kerajaan tidak akan dapat membuat kawalan harga barangan lain sekiranya gagal menangani harga telur.

“Kalau hendak kawal harga barang, barang keperluan, tolong kawal harga telur. Sebab bila menteri umum harga telur turun dua sen dalam sebuah sidang akhbar yang besar-besaran, hari ini, harga telur AAA menghampiri 50 sen sebiji.

“Jadi, kalau harga telur pun tidak boleh kawal, jangan harap nak kawal harga lain.” – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.