Kerjasama PAS-UMNO Di Melaka Bukan Main-Main

MELAKA 18 Mac – Pas dan UMNO Melaka menyifatkan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu bukan sesuatu yang dibuat-buat atau perkara main-main kerana ia melibatkan penyatuan antara kaum Melayu dan umat Islam dan pada masa yang sama tidak meminggirkan kaum-kaum lain.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, pihaknya serius dalam merealisasikan hubungan baik itu untuk menjalinkan kerjasama dalam apa saja bentuk tetapi tidak melibatkan soal pembahagian kerusi.

Katanya, pembahagian kerusi merupakan isu yang boleh memecahbelahkan hubungan baik.

“Atas sebab itu, saya mewakili Pas berpendapat, kita akan bekerjasama dengan UMNO Melaka dalam apa juga bentuk tetapi soal kerusi kita tidak akan masuk campur atau berlebih-lebih.

“Pas Melaka sedar kita bukan seperti parti di Pantai Timur yang kuat, jadi kita kena ukur baju di badan sendiri. Namun kerjasama kita dengan UMNO bukan perkara main-main,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Pimpinan Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pas Negeri Melaka serta Media di sebuah hotel di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Sementara itu, Mohamad Ali ketika berkata, pucuk pimpinan UMNO dan Pas di peringkat Pusat telah menyatakan persetujuan mengenai kerjasama ini dan untuk itu, Melaka antara negeri terawal yang mengadakan beberapa program bersama.

“UMNO Melaka begitu bersungguh-sungguh dengan perjalanan hubungan baik antara kedua-dua parti ini malah kita juga yakin, enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dirampas sekiranya pengundi kedua-dua parti berpihak kepada kerjasama ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.