Rayer Perlu Kemukakan Bukti PH Bina Sekolah Tamil

KUALA LUMPUR 16 Mac – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer perlu mengemukakan bukti yang menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membina lapan buah sekolah Tamil dalam jangka masa lapan bulan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC, Datuk P. Kamalanathan berkata, Rayer juga perlu menyatakan senarai nama dan lokasi sekolah-sekolah tersebut dibina.

“Sepanjang perkhidmatan saya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dari tahun 2013 sehingga 2018 semua urusan pembangunan sekolah jenis Tamil adalah di bawah seliaan saya.

“Tidak tahu pula saya rupanya ada sebanyak lapan buah sekolah baharu yang dibina oleh kerajaan PH dalam masa lapan bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekolah-sekolah tersebut beliau telah menghantar e-mail kepada Rayer.

“Jadi saya pun dengan bersungguh-sungguh menghantar e-mail kepada Jelutong (Rayer) minta senarai nama dan lokasi kesemua lapan sekolah tersebut.

“Ini kerana semenjak saya menjadi Timbalan Menteri Pendidikan bilangan sekolah Tamil di Pulau Pinang adalah 28 buah sekolah.

“Harap Jelutong memberi pencerahan kepada saya dan semua yang menanti jawapan cepu emas Yang Berhormat,” katanya lagi.

Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Rayer memberitahu PH telah membina lebih kurang lapan buah sekolah Tamil ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan mengenai status sekolah tersebut seperti dijanjikan PH dalam manifestonya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.