Agong Zahir Rasa Simpati Kepada Mangsa Pencemaran Kimia Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor dan mendoakan mereka kembali pulih.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka memandang serius insiden tersebut dan berharap mangsa yang menjalani rawatan saringan awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang berupaya menjalani proses pemeriksaan dengan baik.

“Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang telah diambil oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sultan Abdullah turut memohon rakyat Malaysia mendoakan keadaan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih memudaratkan kepada penduduk setempat.

Sehingga tengah malam tadi, 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, menjadikan jumlah mereka yang masih dirawat di hospital seramai 371 orang.

Setakat 3 petang semalam, seramai 4,035 mangsa menerima rawatan berikutan pencemaran yang berlaku sejak 7 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.