Seorang Rakyat Malaysia Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Sebuah Masjid Di Christchurch

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Seorang rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Menurut akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital.

“Seperti yang dilaporkan, terdapat insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch pada pukul 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia) hari ini.

“Suruhanjaya Tinggi kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa.

“Setakat ini, seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dan kini menerima rawatan di sebuah hospital,” menurut tweet itu.

Satu lagi tweet oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyebut mangsa kini dalam keadaan stabil dan isterinya telah dihubungi.

Butiran mangsa belum dikeluarkan.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi juga meminta rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu dan memerlukan bantuan agar menghubungi mereka di talian +64210440188 atau mwwellington@kln.gov.my.

Menurut laporan, polis di New Zealand telah mengesahkan beberapa kematian dalam insiden tembakan di dua buah masjid di bandar Christchurch.

“Seorang telah ditahan, bagaimanapun polis percaya bahawa mungkin terdapat pesalah lain…. Ini adalah satu insiden yang sedang berlaku dan kami berusaha untuk mengesahkan fakta ini…,” kata Polis New Zealand melalui akaun Twitter. – Bernama