Tanggung Biawak Hidup: Pemuda UMNO Kedah Sifatkan Mahfuz Dalam ‘Ketakutan’

ALOR SETAR 14 Mac – Pemuda UMNO Kedah menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar bahawa PAS seperti menanggung ‘biawak hidup’ apabila menjalin kerjasama dengan UMNO, adalah sebagai reaksi orang yang sedang dalam ‘ketakutan’.

Bendaharinya, Datuk Hasmuni Hassan berkata, realitinya, Mahfuz bimbang kerjasama dua parti Melayu terbesar itu berisiko besar menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa buah negeri termasuk Perak dan Kedah.

Justeru kata beliau yang juga Exco Pemuda UMNO, Mahfuz cuba memprovokasi kerjasama tersebut dengan mendakwa UMNO dan PAS menyebarkan pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.

“Sebenarnya Mahfuz sendiri memahami akan konsep kerjasama UMNO-PAS ini iaitu di atas penyatuan ummah atau ta’awun (tolong-menolong) yang bakal meniupkan semangat nasionalis seperti zaman menuntut kemerdekaan dahulu.

“Rakyat khususnya masyarakat Melayu beragama Islam, kini mula menyedari prestasi Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan adalah lebih baik berbanding PH yang penuh penipuan, kekeliruan dan gagal memenuhi kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Mahfuz menyifatkan PAS seperti menanggung ‘biawak hidup’ selepas parti tersebut melakukan kerjasama dengan UMNO untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, hal itu kerana kerjasama UMNO dan PAS dilihat lebih kepada penyebaran pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.

Hasmuni seterusnya berkata, rakyat kini semakin sedar iaitu hanya dengan mengembalikan kuasa politik kepada BN, UMNO dan PAS mampu menyelesaikan pentadbiran negara yang sedang gawat ketika ini.

“Rakyat tahu UMNO dan PAS adalah parti yang lebih berpengalaman dan lebih penting tidak menjadi ‘perkakas’ dan alat kepada mana mana parti politik tertentu.

“Lebih-lebih lagi PAS yang turut berpengalaman dalam mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan mementingkan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Beliau menambah, majoriti rakyat kini memandang bahawa kerjasama UMNO-PAS itu sebagai ‘rahmatan lil alamin’ dalam erti kata sebenar iaitu memberi keadilan, keuntungan dan kesejahteraan yang lebih baik berbanding kerajaan PH. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.