Sultan Johor Titah MB Tubuh Jawatankuasa Khas


JOHOR BAHRU 14 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia.

Baginda bertitah, jawatankuasa itu juga perlu merangka satu prosedur operasi standard (SOP) supaya fapat dipatuhi oleh semua pihak kelak bagi memastikan kejadian seperti ini tidak lagi berulang di Johor.

Titah Sultan Ibrahim, perkara lain yang perlu diutamakan juga adalah pembangunan sistem amaran awal sekiranya berlaku pencemaran udara mahu pun air.

“Dengan adanya sistem berkenaan, sekiranya berlaku apa-apa pencemaran sama ada di udara atau air, maka pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk.

“Pada masa sama, penduduk juga dapat membuat persiapan awal, manakala pasukan kecemasan atau pihak berkuasa dapat bergerak lebih awal,” titah baginda menerusi hantaran dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini sebentar tadi.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan meluangkan masa melawat mangsa-mangsa pencemaran toksik yang sedang mendapatkan rawatan di situ kira-kira setengah jam. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.