Hormati Lingkungan Undang-Undang Dalam Kebebasan Bersuara – Agong

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara di negara ini perlu dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat.

Seri Paduka bertitah, penggunaan media terutama media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

Perkara ini, titah Seri Paduka, perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

“Agensi-agensi penguatkuasa hendaklah bertindak tegas terhadap sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah Sultan Abdullah ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Yang turut berangkat ke istiadat pembukaan itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam titah diraja itu, Seri Paduka menekankan pentingnya usaha mengukuhkan semangat perpaduan terus disuburkan dan seruan ke arah perpaduan tidak tinggal sebagai slogan semata-mata.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, titah Sultan Abdullah.

Ketua Negara itu seterusnya menggesa semua pihak menjunjung keluruhan perlembagaan terutama yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Titah Seri Paduka, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu malah ia cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah Sultan Abdullah.

Seri Paduka melahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam mempromosi nilai dan budaya Islam berdasarkan ajaran Islam sebenar yang mampu menjurus kepada Malaysia menjadi model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah menggesa anggota Parlimen agar terus memelihara, melindungi dan mempertahan ketinggian Perlembagaan Persekutuan tanpa kompromi selain menyematkan kepentingan rakyat di hati mereka.

Menyentuh soal kegiatan jenayah yang cenderung untuk meningkat, Seri Paduka berharap tahap keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua ancaman terus diperkukuh dengan lebih berkesan.

Sultan Abdullah turut menyokong dasar luar negara yang terus memperjuang nasib golongan ditindas di seluruh dunia. – BERNAMA