Guan Eng, Kor Ming Dijemput Datang Ke Negeri Ditadbir Pas Dan UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dipelawa datang ke negeri yang ditadbir Pas dan UMNO untuk melihat keadaan masyarakat di negeri tersebut.

Pelawaan itu dibuat, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan selepas dua pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengenai kerjasama penyatuan ummah di antara UMNO dan Pas.

“Sikap DAP yang anti kepada penyatuan umat Islam adalah biadab dan keterlaluan. Guan Eng dan Kor Ming boleh hadir ke Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang untuk meninjau kehidupan masyarakat di negeri yang diperintah oleh Pas dan UMNO.

“Malah ketika Pas berada dalam kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008 sehingga 2018, Pas tidak sekali-kali menzalimi kepentingan agama dan kaum lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Pas mahu rakyat melihat sikap sebenar DAP yang diselubungi perasaan amarah, dendam serta benci terhadap penyatuan ummah sehingga sanggup melabelkan pelbagai konotasi negatif untuk menakut-nakutkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Beberapa hari lalu Kor Ming menyifatkan kerjasama penyatuan ummah UMNO dan Pas jika berjaya memerintah akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Afghanistan yang diperintah oleh Taliban.

“Kenyataan biadab itu disuarakan selepas Guan Eng menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas umpama pengisytiharan perang terhadap golongan bukan Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.