Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Terharu Hadir Ke Parlimen

KUALA LUMPUR 11 Mac – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor terharu kerana dapat hadir dan terlibat secara langsung dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Dataran Parlimen, hari ini.

Beliau yang akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat esok berkata, perasaan itu semakin terasa apabila memakai pakaian istiadat khas berwarna putih lengkap dengan pingat di dada.

“Saya terharu tapi dalam pada itu saya kena faham bahawa tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya oleh para pengundi di Cameron Highlands amat penting untuk saya tunaikan.

“Saya telah kemukakan beberapa soalan lisan dan bertulis untuk dibawa dalam persidangan kali ini yang menekankan mengenai pembangunan di kawasan saya dan kepentingan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad menyempurnakan majlis istiadat tersebut di sini hari ini.

Ramli merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.